Khamis, 7 November 2013

SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN SPM

ASSALAMUALAIKUM WTB DAN SALAM SEJAHTERA.

selamat menempuh peperiksaan SPM untuk semua pelajar SMK BELURAN II, semoga dapat menjawab peperiksaan dengan baik. Semoga dapat menyiapkan fizikal dan mental dengan baik dalam mengharungi hari-hari peperiksaan ini. Di bawah dikongsikan panduan-panduan berguna sesuai untuk diamalkan sepanjang musim peperiksaan ini.



PERSEDIAAN FIZIKAL
 
KESIHATAN

Sebagai pelajar anda memerlukan kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat persedian mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan.  Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan diri untuk peperiksaan.  Sekiranya masih banyak yang anda perlu  ulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan kesihatan pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa kepada tekanan emosi.  Pastikan anda menjaga perkara yang berikut:

  • Tidur yang cukup.  Tidur yang cukup ialah diantara 6 - 7 jam sehari.  Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit.  Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan.  Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang. 
  • Jaga pemakanan.  Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya "Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan" (Al-Baqarah : 57).  Yang dimaksudkan sebagai yang baik disini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan).  Kepada ibu bapa pastikan anak-anak anda diberi makan makanan dari sumber yang halal.  Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.
  • Riadah.  Jangan beriadah sehingga meletihkan badan.  Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji pelajaran.   Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak tiga kali seminggu.  Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh.  Disaat-saat akhir sebegini, lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton dan sebagainya.  Anda boleh tangguhkan semua aktiviti yang anda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti. 
    Pelbagai Gambaran Negatif. Kerapkali masalah yang dihadapi oleh pelajar apabila hampir dengan peperiksaan ialah takutkan kegagalan.   Walau pun anda telah berusaha bersungguh-sungguh namun perasaan takutkan kegagalan ini sering mengganggu fikiran.  Antara keadaan yang menekan diri pelajar ialah:
  • Menyerah kalah sebelum berjuang.  Ini disebabkan kerana mereka rasakan yang mereka tidak punya harapan lagi.  Mereka rasakan buat apa belajar kalau dah tahu hasilnya nanti ialah kegagalan.  Mereka percaya yang mereka akan gagal dalam peperiksaan berdasarkan kepada keputusan peperiksaan atau ujian-ujian sebelum ini.  Mereka cuba membaca tetapi dengan keyakinan bahawa tidak mungkin mereka mampu memahami dan mengingati setiap fakta yang dibaca.
  • Merasa belum bersedia.  Keadaan yang kedua pula berlaku kepada mereka yang sememangnya belajar.  Mereka rasakan yang diri belum cukup bersedia.   Mereka sentiasa fikirkan apa akan berlaku kalau segala usaha ini sia-sia?  Apa akan terjadi kalau apa yang dibaca kelak lupa?  Betapa malunya nanti kalau kawan-kawan yang kurang berusaha mendapat keputusan yang jauh lebih baik?  Semua ini bermain difikiran.
  • Harapan ibu bapa yang terlalu tinggi.  Tidak ada ibu bapa yang tidak mengharapkan kejayaan anak-anak.  Ada ketikanya pula ibu bapa berulangkali menyatakan harapan mereka kepada anak-anak tanpa memikirkan kemampuan sebenar diri anak.  Harapan yang terlalu tinggi ini ada ketikanya menjadi beban kepada anak-anak hinggakan mengganggu fikiran mereka.  Kepada ibu bapa, saya sarankan agar dorong anak-anak berusaha gigih dan melakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing.  Nyatakan dengan jelas bahawa apa yang anda mahukan ialah anak-anak melakukan yang terbaik dan sungguh-sungguh.  Anda redha walau apa sekalipun keputusannya kelak.  Ini akan mengurangkan tekanan atas diri anak-anak.
Berfikiran Positif

Bagi mengatasi segala tekanan mental seperti di atas anda perlulah berfikiran positif.  Fokuskan mental anda kepada apa yang perlu anda lakukan dan apa pula hasil yang anda harapkan.  Tidak perlu anda bimbang apa keputusan yang bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan sisa-sisa masa yang masih ada untuk berusaha sepenuhnya.
Sekiranya anda memikirkan kegagalan maka anda hanya tergambar pelbagai rintangan dan halangan.  Ini akan melemahkan semangat anda.  Ia juga membuatkan anda meragui kebolehan diri anda.  
Dalam berusaha anda mesti berpegang kepada kata-kata seperti:

"Sedikit pencapaian itu lebih baik dari tiada
pencapaian langsung".

"Something is better than nothing"



Selamat berjuang,
daripada warga Pusat Sumber SMK Beluran II

Rabu, 6 November 2013

SELAMAT MENJENGAH KE LAMAN PUSAT SUMBER SMK BELURAN II



Alhamdulillah.. Bersyukur kepada yang maha Esa, Buat julung kalinya, laman rasmi bagi Pusat Sumber Smk Beluran II berjaya dibina. Semoga dengan adanya laman ini, para pelajar, guru, kakitangan sekolah bahkan orang ramai dapat memperoleh manfaat serta apa sahaja ilmu yang berguna.